Mekanisme penyakit Kandungan_luar_rahim

Secara teorinya, sebarang faktor-faktor yang menghalang ataupun mengganggu perjalanan telur (ovum) yang baru disenyawakan menuju ke rahim adalah merupakan sebab-sebab berlakunya kandungan luar rahim. Ini kerana telur yang dibebaskan daripada ovari, yang kemudiannya disenyawakan di dalam tiub fallopio, harus melalui tiub fallopio untuk menuju ke rahim. Dalam kehamilan normal, implantasi biasanya berlaku di bahagian dasar rahim (fundus), iaitu satu kawasan yang terletak di bahagian atas dinding rahim.

Disebabkan tiub Fallopio merupakan jalan utama pengangkutan telur ke arah rahim, sebarang kerosakan pada tiub ini, baik disebabkan oleh jangkitan, proses pembaikian oleh tubuh, atau kerana mengalami kerosakan disebabkan oleh pembedahan, boleh menyebabkan telur yang telah disenyawakan tersebut tersekat dan gagal untuk maju ke arah rahim. Akibatnya, ia boleh terimplantasi di dalam tiub fallopio dan terjadilah kandungan tuba (tubal pregnancy), yang membentuk kira-kira 90% daripada semua kes-kes kandungan luar rahim. Kebanyakan wanita yang mengalami kandungan tuba akan mengalami keguguran pada peringkat awal kehamilan.

Namun jika implantasi zigot berlaku pada kawasan tuba yang lebih besar dan luas (seperti di kawasan pangkal tuba, atau ampulla), kandungan boleh kekal untuk tempoh yang lebih lama. Proses yang berlaku pula hampir seolah-olah sama seperti kandungan dalam rahim. Namun disebabkan tuba tidak memiliki ciri-ciri elastik dan tisu yang benar-benar serupa dengan rahim, lama-kelamaan tuba akan pecah. Keadaan ini, jika ia berlaku, adalah merupakan satu kecemasan dan perlukan rawatan segera di hospital.

Selain kandungan tuba, produk persenyawaan juga boleh tertanam di dalam ruang abdomen. Ini boleh berlaku kerana ovari (tempat penghasilan telur) seolah-olah terapung di dalam ruang abdomen. Segala telur yang dilepaskan ovari akan "berenang" menuju ke arah "pintu masuk" tiub fallopio. Jadi jika persenyawaan berlaku semasa telur tidak lagi masuk ke dalam tiub, diikuti pula dengan telur tersebut gagal masuk ke dalam tiub fallopio, maka telur tersebut boleh tertanam di dalam abdomen. Walaubagaimanapun, hal ini sangat jarang berlaku.